RUKUN HIBAH

JABATAN MUFTI NEGERI KEDAH DARUL AMAN
Ruj: ( 26 ) dlm. JMNK(F)602 Jld.27 Tarikh: 21 Muharam 1443 (30 Ogos 2021) Rukun Hibah terdiri daripada 4 perkara iaitu:

1. Pemberi ( Al-Wahib )

Hendaklah seorang yang mukallaf, tidak muflis, orang yang boleh menguruskan harta.

Menurut pandangan Syarak, pengertian mukallaf iaitu seseorang yang mencukupi had umur minimum baligh genap 15 tahun dan ke atas bagi lelaki sementara bagi perempuan mencukupi had minimum baligh genap umur 9 tahun (jika datang haid) dan jika tidak didatangi haid sehingga umur 15 tahun maka dia sudah dikira baligh mengikut perkiraan Taqwim Qamariyah.

Bagaimanapun, bagi pemberi hibah yang mukallaf tetapi belum genap umur 18 tahun maka mereka hendaklah tertakluk kepada undang-undang yang berkuatkuasa (Akta Umur Dewasa 1971 [Akta 21]).

2. Penerima ( Al- Mawhub Lahu )

Sesiapa sahaja yang berkelayakan untuk memiliki harta. Sekiranya penerima hibah belum mukallaf, maka hendaklah dilantik wali/pemegang amanah yang boleh menerima bagi pihak dirinya.

3. Barang yang dihibahkan (Al-Mawhub)

Halal, suci, bernilai, milik sempurna pemberi hibah, boleh diserah milik dan wujud pada masa hibah.

4. Aqad (Al-Aqad)

Hendaklah mengandungi gabungan dan persamaan antara ijab dan qabul.

Dalam konteks semasa, dinasihatkan penerimaan hibah didokumenkan mengikut peruntukan undang-undang bagi mengelak sebarang penyelewengan pada masa akan datang.